Hannah arah buat laporan polis, siasat video tular minta wang perlindungan
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengarahkan laporan polis dibuat hari ini susulan satu video tular berhubung aktiviti meminta wang perlindungan yang dikatakan berlaku di Wangsa Maju.
Beliau berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan siasatan dapat dimulakan serta-merta berhubung dakwaan yang terkandung dalam video berkenaan.
Menurutnya, sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar, pihak yang terlibat akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi.
“Pendirian pihaknya jelas iaitu tiada toleransi terhadap sebarang bentuk wang perlindungan atau amalan orang tengah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan sekeras-kerasnya sebarang cubaan mengaitkan organisasi itu dengan aktiviti meminta wang perlindungan, salah guna kuasa atau perlakuan menyalahi undang-undang seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan, kenyataan atau perlakuan yang ditunjukkan dalam video berkenaan.
Menurut DBKL, sebarang kenyataan yang dibuat oleh individu dalam video tersebut adalah bersifat peribadi dan sama sekali tidak mewakili pendirian mahupun tindakan DBKL.
Dalam pada itu, Hannah menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat atau aduan kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat sebarang salah laku.
Jelasnya, aduan bukan sahaja melibatkan MPP, tetapi juga mana-mana pegawai atau agensi di bawah seliaan JWP.
“Kerjasama rapat antara JWP dan SPRM telah diperkukuh bagi memastikan setiap aduan disiasat secara telus serta tindakan tegas dapat diambil,” ujarnya lagi.
Tambahnya, aduan boleh dibuat melalui portal rasmi JWP, SPRM dan DBKL.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















