BERITA SEMASASUKAN

Harimau Malaya disasar capai taraf dunia menjelang 2030

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan untuk melahirkan pasukan bola sepak kebangsaan bertaraf dunia menjelang tahun 2030, sekali gus merintis laluan ke pentas Piala Dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sasaran itu selaras dengan Peta Hala Tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau F:30 yang merancang untuk menjadikan Malaysia antara lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.

Menurutnya, pelan strategik F:30 dibahagikan kepada tiga fasa utama, iaitu fasa pertama (2019-2022) menumpukan kepada pembinaan asas kukuh melibatkan tadbir urus, pertandingan, pembangunan modal insan dan infrastruktur; fasa kedua (2023-2026) bagi memperkukuh kedudukan di peringkat Asia; manakala fasa ketiga (2027-2030) menumpukan kepada pembentukan pasukan kebangsaan bertaraf dunia.

“Disusuli fasa kedua dari 2023 hingga 2026 untuk mencapai peringkat Asia, dan akhir sekali fasa ketiga dari 2027 hingga 2030 bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan mencecah taraf dunia,” katanya menerusi jawapan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang mahu mengetahui perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang kementeriannya bersama FAM bagi memastikan skuad kebangsaan mempunyai hala tuju yang jelas untuk layak ke Piala Dunia.

Hannah berkata, menjelang akhir tempoh pelaksanaan F:30, matlamat utama adalah menjadikan Malaysia antara negara yang layak ke Piala Dunia secara konsisten.

“Bagi mencapai matlamat itu, tumpuan akan diberikan kepada penetapan sasaran penyertaan ke Piala Dunia dan pembentukan generasi pemain secara berterusan.

“Selain itu, pemantapan kestabilan kewangan dan organisasi, peningkatan pengaruh di peringkat antarabangsa serta kedudukan dalam ranking FIFA turut diberi perhatian,” jelasnya.

Bagi perancangan jangka sederhana (tiga hingga lima tahun), katanya, fokus utama adalah meningkatkan daya saing skuad negara di peringkat Asia menerusi sistem pembangunan berterusan yang melibatkan konsolidasi akademi dan pengambilan bakat.

Beliau berkata, pengukuhan liga domestik yang lebih kompetitif, pembudayaan profesionalisme dalam sukan, pembangunan fasiliti latihan bertaraf tinggi serta perluasan kerjasama antarabangsa turut menjadi keutamaan.

Sementara itu, bagi perancangan jangka pendek (satu hingga dua tahun), Hannah menjelaskan usaha dipacu untuk memperkukuh asas pasukan kebangsaan melalui latihan intensif dan penjenamaan semula taktikal.

“Selain itu, peningkatan tahap persaingan antarabangsa, pembangunan kecergasan dan penggunaan teknologi sokongan, pengurusan pemain secara lebih sistematik serta pembiayaan dan pengurusan sumber yang berkesan turut diberi perhatian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button