Durian Kingdom diiktiraf The Asia Records produk hiliran durian terbanyak
PUCHONG – Jenama produk makanan tempatan, Durian Kingdom mencipta sejarah apabila diiktiraf The Asia Records menerusi gelaran “Most Number of Durian Downstream Products in 2026” (Jumlah Produk Hiliran Durian Terbanyak 2026), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju inovasi produk berasaskan durian di rantau ini.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan atas kejayaan Durian Kingdom membangunkan antara portfolio produk hiliran berasaskan durian paling meluas di Malaysia. Sesi rakaman video pengiktirafan rasmi bagi pencapaian tersebut diadakan di Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Pengasas Sunshine Kingdom, Eddie Wong berkata, pengiktirafan itu menjadi bukti komitmen syarikat dalam memperkenalkan produk berasaskan durian Malaysia ke pasaran antarabangsa menerusi inovasi berterusan.
“Semasa kami menubuhkan Durian Kingdom, impian kami adalah mudah iaitu membolehkan masyarakat dunia menikmati rasa asli durian Malaysia bila-bila masa dan di mana jua.
“Setiap produk yang dihasilkan mencerminkan minat kami terhadap inovasi dan komitmen untuk mengetengahkan budaya durian Malaysia di persada antarabangsa.
“Pengiktirafan daripada The Asia Records ini adalah hasil usaha seluruh pasukan kami dan ia menjadi pendorong untuk kami terus memperkenalkan produk baharu yang memberi nilai tambah kepada industri makanan negara,” katanya.
Baca juga : Taman perindustrian pintar pertama negara, NSIP terima pengiktirafan The Asia Records
Ditubuhkan di bawah Sunshine Kingdom Sdn. Bhd. pada 2014, Durian Kingdom diasaskan dengan visi memperkenalkan keunikan rasa serta budaya durian Malaysia ke peringkat global menerusi penghasilan produk premium yang melangkaui jualan buah segar.
Bermula dengan hanya beberapa jenis produk, jenama itu kini berkembang menjadi antara pakar durian terkemuka di rantau ini dengan menghasilkan pelbagai kategori produk termasuk biskut dan konfeksi, coklat, pastri, kopi serta minuman berasaskan durian, snek sejuk beku dan freeze-dried, selain koleksi set hadiah serta pelbagai inovasi makanan lain.
Kepelbagaian produk tersebut membolehkan raja buah Malaysia dinikmati sepanjang tahun dalam pelbagai bentuk berkualiti tinggi oleh pelancong, penggemar makanan dan peminat durian dari seluruh dunia.
Menurut The Asia Records, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar mengiktiraf kepelbagaian produk yang dihasilkan, malah mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap inovasi, kecemerlangan pembuatan serta pembangunan jenama tempatan.
Langkah memperluaskan aplikasi nilai tambah durian juga membantu mengurangkan kebergantungan industri terhadap jualan buah segar bermusim, selain membuka peluang baharu dalam sektor eksport, pelancongan dan pembuatan makanan premium.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















