POLITIK

DAP Negeri Sembilan mahu Loke terus pimpin parti

SEREMBAN – DAP Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap Anthony Loke untuk terus menerajui parti itu di peringkat negeri, meskipun beliau sebelum ini menyatakan hasrat untuk berundur susulan kegagalan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semalam.

Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama semua ahli jawatankuasa negeri dan mencapai keputusan sebulat suara supaya Loke kekal meneruskan kepimpinan beliau.

Katanya, kepimpinan Loke terbukti berjaya membawa DAP Negeri Sembilan ke tahap lebih dihormati dan diiktiraf, sekali gus menjadikannya antara pemimpin terbaik dalam sejarah parti itu di negeri berkenaan.

“Kami menyokong penuh supaya Loke kekal memimpin kerana kepemimpinan beliau terbukti dan diiktiraf sebagai terbaik dalam sejarah DAP di Negeri Sembilan.

“Bermula dengan memenangi dua kerusi pada 2004, kepemimpinan berwibawa Loke melonjakkan DAP Negeri Sembilan ke tahap yang dihormati oleh kawan dan lawan.

“Kekalahan di kerusi Chennah dan Repah memang mendatangkan kekecewaan kepada kami, tetapi ia bukan salah Loke dan Loke tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan dengan kekalahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP dalam sidang media di Chennah malam kelmarin memaklumkan beliau bersedia mempertimbangkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai mengambil tanggungjawab terhadap prestasi DAP dalam PRN berkenaan dan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan datang.

Pada PRN Negeri Sembilan, Loke gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandangnya selama tiga penggal.

Cha Kee Chin berkata, DAP Negeri Sembilan masih memerlukan kepimpinan berkarisma daripada Loke bagi menghadapi cabaran akan datang termasuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Analisa awal keputusan PRN kali ini menunjukkan calon Pakatan Harapan dan DAP masih mendapat sokongan padu dalam kalangan penyokong tegar kami walaupun menghadapi pihak lawan yang memainkan isu perkauman,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button