BERITA SEMASA

58 banduan dibebaskan awal sempena Hari Keputeraan Sultan Perak

BATU GAJAH – Seramai 58 banduan menerima pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70, sekali gus membolehkan mereka dibebaskan lebih awal daripada tarikh pembebasan asal.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Rosoman Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, seramai 37 banduan dibebaskan di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.

Beliau berkata, baki banduan terdiri daripada penghuni beberapa institusi penjara lain termasuk Penjara Tapah, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Taiping, Penjara Seberang Perai serta institusi penjara di Negeri Sembilan susulan permohonan perpindahan sebelum ini.

“Daripada 58 prospek diampunkan ini, 55 daripadanya adalah lelaki, manakala tiga lagi wanita yang berusia antara 28 tahun hingga 64 tahun membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kes dadah dan jenayah lain,” katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Batu Gajah, hari ini.

Menurutnya, pengampunan itu turut mengambil kira pertimbangan kemanusiaan, khususnya terhadap banduan berusia 60 tahun ke atas serta mereka yang menghidap penyakit dan tidak lagi sesuai menjalani kehidupan di sebalik tirai besi.

“Sebaiknya golongan ini diberi program pemulihan di luar tembok penjara. Melalui pengampunan ini, mereka dapat segera kembali ke pangkuan keluarga,” katanya memetik laporan BH Online.

Mengulas proses pemilihan penerima pengampunan, Rosoman berkata, senarai nama dikemukakan dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Peguam Negara serta penasihat undang-undang negeri sebelum dipersembahkan kepada Lembaga Pengampunan Negeri Perak untuk perkenan Sultan Perak.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan sumbangan makanan istimewa kepada semua penghuni penjara di negeri itu sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda.

“Seramai 8,490 prospek di seluruh institusi penjara negeri Perak menerima manfaat daripada kurniaan sumbangan makanan Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button