Insiden wanita hampiri Sultan Perak, polis buka kertas enkuiri tatatertib
IPOH – Polis membuka kertas enkuiri tatatertib ke atas anggota dan pegawai pengiring susulan insiden seorang wanita cuba menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan dibuat bagi menentukan kewujudan elemen kecuaian sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata, pihaknya kini meneliti resolusi jangka pendek dan panjang dari sudut pentadbiran.
“Sehingga kini juga kesemua anggota dan pegawai terlibat masih bertugas seperti biasa. Satu mesyuarat bersama pihak istana akan diadakan bagi membincangkan tindakan susulan berhubung kejadian itu,” katanya, semalam.
Terdahulu, seorang wanita tempatan direman tiga hari selepas melepasi kawalan keselamatan dan menghampiri Sultan Nazrin di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Perak di Ipoh, kelmarin.
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perintah reman dikeluarkan bermula semalam hingga Rabu.
Hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, namun ujian saringan air kencingnya didapati negatif.
Dia juga didapati pernah menerima rawatan psikiatri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







