Lelaki cedera ditikam individu dikenali
KUANTAN – Seorang lelaki cedera di perut selepas ditikam individu yang dikenalinya di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang, di sini semalam.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa didatangi suspek di hadapan rumahnya.
“Mangsa berusia 38 tahun keluar dari rumah dan berjumpa suspek di hadapan pagar rumah. Suspek meminta mangsa mengikutnya dengan alasan ada rakan mahu berjumpa, namun mangsa enggan.
“Suspek kemudian secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dari belakang seluar dan menikam perut mangsa sebelum melarikan diri,” jelasnya.
Mangsa yang cedera akibat tikaman di bahagian perut kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.
Difahamkan, dia berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan.
Suspek berjaya ditahan dan telah direman empat hari sejak semalam, untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam.
Video kejadian berkenaan turut menjadi tular di media sosial, memaparkan perbualan antara kedua-dua lelaki berkenaan, sebelum suspek bertindak menikam mangsa dan melarikan diri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








