POLITIK

Azman beri perhatian kepada keperluan penduduk B40 di Paya Rumput

PAYA RUMPUT – Masalah kos sara hidup dan keperluan keluarga dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) antara perkara yang mahu diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, Paya Rumput yang dikategorikan sebagai kawasan separa bandar mempunyai ramai penduduk daripada kelompok B40, sekali gus memerlukan pendekatan yang mengambil kira keperluan serta cabaran kehidupan mereka.

Katanya, pendekatan ziarah kasih menjadi platform untuk mendekati masyarakat dan mengenal pasti sendiri masalah yang dihadapi penduduk setempat.

“Saya tahu bahawa Paya Rumput ini kawasan separa bandar dan golongan B40 juga ramai di sini, jadi perhatian juga harus kita fikirkan apa keperluan keluarga, apa perlu kita lakukan,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Kasih di sini baru-baru ini.

Baca juga : PRN Melaka: Azman guna pendekatan Ziarah Kasih dekati pengundi Paya Rumput

Azman yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, program ziarah kasih bukan perkara baharu baginya kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin tugas sepanjang menjalankan tanggungjawab berkenaan di seluruh negara.

Bagaimanapun, penyertaannya sebagai calon di Paya Rumput kali ini membolehkan beliau memahami dengan lebih dekat keperluan serta permasalahan penduduk di kawasan itu.

“Ziarah kasih memang rutin biasa saya selaku Setiausaha Politik Perdana Menteri, bukan saja di Melaka sebenarnya malah di seluruh negara. Tetapi kali ini saya bertanding sebagai calon Paya Rumput.

“Oleh itu, saya ingin melihat bahawa setiap ziarah kasih yang saya lakukan, saya nak lihat juga apa sebenarnya keperluan ataupun masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dan sebagainya,” katanya.

Mengulas persaingan dengan calon lain, Azman berkata, setiap individu yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri, manakala pengalaman serta rekod perkhidmatannya boleh dinilai oleh pengundi.

Katanya, beliau akan berusaha mendekati seramai mungkin pengundi di DUN berkenaan bagi memberi peluang kepada mereka mengenali dirinya dengan lebih dekat.

“Saya melihat semua calon yang bertanding itu ada kekuatan masing-masing dan saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk bekerja dan menyantuni seberapa ramai pengundi di DUN Paya Rumput ini agar dapat mengenali saya.

“Saya rasa track record, sekarang ini kita zaman media sosial, semua boleh melihat rekod saya, pengalaman yang saya ada.

“Sekiranya saya diberikan amanah, diberi kepercayaan, saya dapat cuba membantu dengan menggunakan pengalaman yang saya ada untuk DUN Paya Rumput,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button