Kelulusan undang-undang, kemahiran berbahas kelebihan Mukhlis Mubin sebagai calon ADUN – Tokoh akademik
KUALA LUMPUR – Kelayakan akademik dalam bidang undang-undang dan kemahiran berbahas merupakan antara kelebihan yang boleh dimanfaatkan calon muda daripada Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Kuala Linggi, Mukhlis Mubin sekiranya diberi mandat untuk mewakili rakyat sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Tokoh Akademik, Tan Sri Nordin Kardi berkata, kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan kemampuan Mukhlis untuk melaksanakan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya berdasarkan kelayakan akademik dan kemahiran berpidato perlu dilihat dari sudut sebenar peranan seorang wakil rakyat.
Menurutnya, tugas utama ADUN adalah mewakili aspirasi rakyat, membahaskan dasar serta meneliti dan menggubal undang-undang bagi memastikan kepentingan dan kebajikan masyarakat terpelihara.
“Mukhlis yang mempunyai latar belakang pendidikan undang-undang selepas menuntut selama empat tahun di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai asas akademik yang relevan untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
“Apabila seorang calon menawarkan diri menjadi ADUN, dia menawarkan diri untuk menjadi ahli penggubal undang-undang. Itulah skop tugasnya.
“Kerja seorang ADUN memang mewakili aspirasi rakyat dengan berbahas, memperhalusi dasar dan terlibat dalam proses pembuatan undang-undang di DUN,” katanya dalam hantaran di laman media sosialnya.

Nordin berkata, tanggungjawab melaksanakan dasar yang diputuskan pula terletak pada pihak eksekutif, termasuk Ketua Menteri dan barisan Exco yang diberikan portfolio masing-masing.
Justeru, katanya, kemampuan seseorang calon untuk menjadi ADUN tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan keupayaan melaksanakan projek pembangunan fizikal seperti membina sekolah, menyediakan kemudahan pertanian atau membangunkan infrastruktur.
Beliau menjelaskan, seseorang ADUN berperanan membawa keperluan dan tuntutan rakyat ke DUN untuk dibahaskan, manakala pelaksanaan dasar serta projek berkaitan bergantung pada tindakan pihak eksekutif.
“Menuntut supaya Melaka maju ke hadapan ialah antara perkara yang boleh diperjuangkan Mukhlis jika menang, tetapi melaksanakan tuntutan itu ialah tanggungjawab Ketua Menteri dan pasukannya,” katanya.
Menurutnya, tempoh lima tahun sebagai wakil rakyat boleh menjadi ruang untuk Mukhlis membuktikan prestasi menerusi perbahasan, penelitian dasar dan penggunaan ilmu undang-undang bagi memperjuangkan kepentingan pengundi.
Katanya, prestasi seseorang ADUN boleh dinilai rakyat sepanjang tempoh perkhidmatannya sebelum mereka membuat keputusan sama ada mahu memberikan mandat sekali lagi pada pilihan raya akan datang.
Nordin turut menjelaskan bahawa pelantikan sebagai Exco merupakan keputusan Ketua Menteri, justeru ia berbeza daripada pemilihan ADUN yang dibuat oleh pengundi melalui pilihan raya.
“Rumusannya, Mukhlis sedang mencari mandat rakyat untuk mewakili suara mereka di DUN, bukannya menawarkan diri untuk melaksanakan sendiri semua projek pembangunan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








