Laporan RCI dedah TH rugi RM1.4 bilion pada tahun kewangan 2017, bukannya untung RM3.4 bilion
CYBERJAYA – Tabung Haji (TH) sepatutnya mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017 dan bukannya keuntungan sebanyak RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.
Dapatan tersebut terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang diterbitkan, hari ini.
Suruhanjaya yang ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan dan operasi institusi berkenaan mendapati, kedudukan kewangan TH pada ketika itu jauh lebih lemah daripada yang didedahkan, sekali gus mengesahkan dapatan semakan bebas PricewaterhouseCoopers (PwC) bahawa TH telah mengalami defisit aset berbanding liabiliti sejak 2014.
Menurut Suruhanjaya itu, kelemahan dalam amalan perakaunan menjadi antara punca utama penyata kewangan TH tidak mencerminkan kedudukan sebenar.
Antaranya ialah kegagalan mengiktiraf kerugian susut nilai terhadap pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan instrumen pendapatan tetap, selain tidak mengambil kira sepenuhnya penyusutan nilai saksama hartanah pelaburan.
Laporan itu turut mendedahkan, TH mengisytiharkan hibah bagi tahun kewangan 2017 tanpa mengambil kira keseluruhan kerugian susut nilai, selain merekodkan pendapatan dividen daripada anak syarikat yang masih belum diterima, sekali gus menyebabkan prestasi kewangan institusi itu kelihatan lebih kukuh daripada keadaan sebenar.
“Jika Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) diaplikasikan sepenuhnya dalam penyediaan penyata kewangan 2017, TH sepatutnya melaporkan kerugian bersih RM1.4 bilion berbanding keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunannya,” kata laporan itu, hari ini.
Suruhanjaya itu berkata, kedudukan kewangan TH menjadi semakin kritikal menjelang akhir 2017 apabila pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 hingga 2017 dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menghakis rizab institusi, selain meningkatkan tekanan terhadap pengurusan untuk terus menawarkan kadar hibah yang menarik kepada pendeposit.
“Keadaan itu mendorong TH mengambil risiko pelaburan yang lebih tinggi, termasuk meningkatkan pegangan dalam pelaburan ekuiti yang lebih terdedah kepada turun naik pasaran,” kaatanya.
Laporan itu turut mengkritik penggunaan pendekatan Realisable Asset Value (RAV) yang disifatkan sebagai “perakaunan kreatif” dalam menentukan pematuhan terhadap Akta Tabung Haji kerana kaedah itu menghasilkan penilaian aset yang lebih tinggi dan tidak menggambarkan sepenuhnya kerugian susut nilai pelaburan.
Pengurusan TH bagaimanapun berhujah bahawa Akta Tabung Haji tidak mentakrifkan secara jelas istilah “aset”, sekali gus memberi ruang kepada institusi itu menentukan sendiri kaedah penilaian yang digunakan.
Laporan RCI setebal 252 muka surat itu disediakan susulan keputusan kerajaan untuk menyiasat pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, termasuk aspek pengurusan kewangan, tadbir urus serta kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















