BERITA SEMASA

Banjir Nepal: 55 rakyat Malaysia masih tidak dapat dihubungi – Wisma Putra

PUTRAJAYA – Seramai 55 rakyat Malaysia masih tidak dapat dihubungi susulan banjir besar akibat limpahan Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa, Nepal semalam.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, pihaknya sedang memantau rapat situasi berkenaan selepas menerima maklumat daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.

“Berdasarkan maklumat terkini yang diterima, seramai 55 orang warganegara Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu masih belum dapat dihubungi.

“Kementerian memahami bahawa gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas mungkin menyumbang kepada kesukaran untuk menghubungi mereka,” kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan, banjir tersebut telah menyebabkan kerosakan teruk kepada infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad,” katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya kepada keluarga mangsa yang terkorban serta menzahirkan simpati kepada semua yang terjejas akibat bencana ini.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital-hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan warganegara Malaysia yang terlibat.

“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia,” katanya.

Pada masa yang sama, kementerian telah mengambil langkah segera untuk menempatkan seorang pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

Selain itu, Wisma Putra turut mengaktifkan Bilik Operasi di Putrajaya berkuat kuasa mulai pukul 12.00 tengah hari ini bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi langsung untuk rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi kementerian melalui talian 60-388874570 atau emel dutyofficer@kln.gov.my.

Ahli keluarga juga boleh mengemukakan butiran berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir yang diketahui dan nombor telefon yang boleh dihubungi, kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui e-mel mwkathmandu@kln.gov.my dan menyalinkan e-mel tersebut kepada Bilik Operasi Kementerian melalui dutyofficer@kln.gov.my bagi memudah cara penyelarasan.

“Rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan di Nepal, khususnya mereka yang berada atau berhampiran kawasan terjejas adalah dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Mereka juga digesa untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing secara berkala melalui portal e-Konsular di https:llekonsular.kln.gov.my,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button