Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia elak perjalanan ke Iran, Iraq dan Jordan
KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq dan Jordan susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan media, Wisma Putra memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Baghdad dan Amman sedang memantau rapi perkembangan semasa dan bersedia memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.
“Ekoran ketegangan tersebut, beberapa negara termasuk Iran, Iraq dan Jordan telah menutup ruang udara mereka.
“Warganegara Malaysia di kawasan berkenaan dinasihatkan supaya bersedia menghadapi gangguan jadual penerbangan dan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap rancangan perjalanan masing-masing,” jelas kenyataan itu.
Wisma Putra turut menasihati agar semua rakyat Malaysia yang berada di rantau berkenaan sentiasa berwaspada, mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
Bagi rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Iran, mereka disarankan agar segera mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran untuk tujuan keselamatan dan pemantauan.
Kerajaan juga menegaskan komitmennya dalam memastikan kebajikan dan keselamatan warganegara Malaysia di luar negara melalui pejabat-pejabat perwakilan diplomatiknya.
Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menghubungi pejabat kedutaan yang terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









