BERITA SEMASA

Wisma Putra pantau perkembangan terkini – Fahmi

KUALA LUMPUR – Wisma Putra sedang memantau perkembangan terkini sembilan sukarelawan Malaysia daripada MyCARE yang ditahan tentera rejim zionis ketika mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza, hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Wisma Putra bersedia mengambil langkah diplomatik sewajarnya termasuk menggunakan saluran hubungan dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, lapor BERNAMA.

“Insya Allah, pihak Wisma Putra mengikuti isu ini dan bersedia mengambil tindakan yang perlu termasuk melalui diplomasi peringkat tertinggi dan hubungan kita dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.

Fahmi berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), di sini hari ini.

Beliau menambah, pihaknya masih menunggu laporan lanjut mengenai nasib kesemua sukarelawan terbabit, namun menjangkakan menerima maklum balas lebih jelas menjelang program Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara di Axiata Arena malam ini.

Terdahulu, MyCARE hari ini memaklumkan sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) termasuk Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan sukarelawan negara dipintas oleh tentera Israel pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button