Tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pihak hasut guna isu kaum, agama – Fahmi
KUALA LUMPUR – Semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan diarahkan untuk mengambil tindakan yang cepat, berkesan dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan tegas itu diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, mesyuarat telah membincangkan pelbagai isu semasa, termasuk isu hasutan perkauman dan agama yang kini tular di media sosial.
“Semua pihak diingatkan untuk memelihara perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, dengan memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara satu sama lain, serta sentiasa mematuhi undang-undang negara demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Semalam, perdana menteri turut mengingatkan mana-mana pihak termasuk pemimpin politik di negara ini agar tidak mempergunakan isu agama sebagai senjata politik demi kepentingan peribadi.
Perdana menteri menegaskan sekiranya perbuatan sedemikian tidak dihentikan, ia boleh membawa kepada perpecahan kaum.
Peringatan itu dibuat berikutan tindakan segelintir pihak yang menyebarkan kenyataan provokatif dan penghinaan memperlekehkan agama di media sosial, termasuk dalam kalangan ahli politik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















