POLITIK

PH sudah latih jentera, sedia hadapi undi awal PRN Melaka esok – Adly

MELAKA TENGAH – Semua calon dan jentera Pakatan Harapan (PH) Melaka diberikan latihan sejak hari pertama kempen bagi memastikan kelancaran proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari berkata, beberapa siri latihan sudah dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk di Bukit Katil sebagai persediaan menghadapi pengundian awal yang berlangsung esok.

Menurutnya, pihaknya tidak berdepan masalah dari segi persediaan dan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat melaksanakan proses pengundian berkenaan dengan baik.

“Memang persediaan itu kita telah lakukan dan jentera kita sudah diberikan beberapa siri latihan.

“Saya fikir esok kita harap undi awal itu dapat berjalan dengan baik,” katanya dalam sidang media harian sempena PRN Melaka di sini hari ini.

Baca juga : PH tawar geran khas, tambah pusat jagaan kanak-kanak untuk wanita bekerja di Melaka

Beliau berkata, PH turut mengambil pendekatan memberikan penerangan kepada kumpulan pengundi awal mengenai hala tuju serta aspirasi parti, termasuk berkaitan inisiatif dan dasar kerajaan.

Katanya, sebahagian pengundi awal terdiri daripada petugas perkhidmatan awam yang turut terkesan dengan pelaksanaan dasar kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan kempen, Adly berkata, PH akan terus meningkatkan gerak kerja pada minggu kedua dengan membawa isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat di setiap kawasan DUN yang ditandingi.

Antara isu dibangkitkan termasuk masalah laluan di kawasan Klebang, tambakan laut, peluang keusahawanan dan pembangunan kawasan Kuala Linggi.

Katanya, isu kemudahan, kebersihan, pembuangan sampah serta usaha memperkasa golongan belia turut menjadi perhatian di kawasan luar bandar berkenaan.

Beliau berkata, PH turut memberi perhatian kepada masalah infrastruktur, kesesakan lalu lintas, saliran dan banjir yang dibangkitkan penduduk.

Menurutnya, aspirasi parti itu dibentuk berdasarkan penilaian terhadap masalah masyarakat di seluruh negeri Melaka dalam tempoh tiga bulan.

Adly berkata, PH mahu menawarkan alternatif kepada rakyat menerusi penyelesaian terhadap isu kebajikan, peluang ekonomi dan birokrasi, termasuk memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan urusan rakyat dengan kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button