BERITA SEMASA

PRN Sabah: 24,426 terlibat proses undi awal esok

KOTA KINABALU – Seramai 24,426 pengundi akan menunaikan tanggung jawab membuang undi apabila proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berlangsung esok.

Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 11,697 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 lagi membabitkan anggota polis serta pasangan.

Sebanyak 58 pusat pengundian awal akan dibuka serentak di seluruh negeri bermula pukul 8 pagi, sebelum ditutup secara berperingkat.

Antara lokasi pusat mengundi awal ialah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, ibu pejabat polis daerah serta kem-kem tentera di seluruh negeri.

Sebaik selesai pengundian awal, semua kertas undi tidak akan dikira serta-merta, sebaliknya proses pengiraan akan dilaksanakan semasa hari pengundian iaitu pada 29 Nov nanti.

Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan sebanyak 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 74 daripadanya ialah calon yang bertanding atas tiket Bebas.

Tempoh berkempen bagi PRN Sabah ke-17 yang bermula dari 15 Nov lalu akan berakhir pada 11.59 malam, 28 Nov.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button