PRN Sabah: PH dijangka umum calon hujung minggu ini
KOTA KINABALU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dijangka diumumkan hujung minggu ini.
Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pengumuman itu akan dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan kerjanya ke negeri itu, hujung minggu ini, lapor NST.
“Ya, kami baru terima maklumat tersebut. Jadual beliau termasuk agenda pengumuman. Beliau akan berada di sini pada 9 haribulan.
“Malah seawal 8 November lagi. Pada 9 haribulan, kami akan menghadiri mesyuarat kepimpinan pusat di Sabah. Semua pemimpin dari peringkat pusat akan hadir.
“Pada sebelah petang, kita akan umum calon kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Jelajah Harapan Urang Sabah bagi kawasan Inanam, hari ini.
Ketika ditanya sama ada pengumuman itu turut melibatkan parti komponen PH lain seperti DAP, Amanah dan United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO), Mustapha berkata parti komponen PH kekal bersatu dan akan menyelaras kehadiran semua pihak.
Tambahnya, spekulasi yang mengatakan UPKO dan DAP akan bertanding menggunakan logo masing-masing telah dibincangkan di peringkat pusat.
Setakat ini, belum ada kenyataan lanjut daripada mana-mana parti mengenai perkara itu.
Mustapha, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa UPKO diketepikan dalam perbincangan pembahagian kerusi gabungan tersebut.
“Di peringkat PH Sabah, kita berbincang kerusi mana yang kita mahu tandingi. Kemudian ketua rundingan kita akan berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
“Datuk Ewon Benedick (Presiden UPKO) adalah ketua PH Sabah dan penyelaras kita,” katanya, sambil menambah parti komponen PH akan hadir bila-bila masa Ewon memanggil mesyuarat.
Mengenai kemungkinan berlaku pertembungan antara GRS dan PH, Mustapha berkata PKR telah menasihatkan UPKO untuk mengelakkan pertindihan kerusi dengan GRS.
Beliau berkata keputusan akhir tetap bergantung kepada UPKO sama ada mahu meneruskan pencalonan, memandangkan langkah sedemikian boleh menjejaskan kerjasama gabungan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








