Dua askar Israel maut, empat cedera parah dalam letupan di selatan Lubnan
BAITULMAQDIS – Dua anggota tentera Israel terbunuh manakala empat lagi cedera parah selepas sebutir alat letupan buatan sendiri (IED) meletup ketika mereka menjalankan operasi di selatan Lubnan, semalam.
Media Israel melaporkan kejadian berlaku di bandar Majdal Zoun, daerah Tyre, yang ketika ini berada di bawah kawalan tentera Israel.
Tentera Israel dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kematian dua anggotanya, masing-masing dikenali sebagai Mejar (Simpanan) Harel Birenstock dan Ketua Sarjan Mejar (Simpanan) Tamir Vaknin.
Bagaimanapun, pihak tentera tidak memperincikan punca kematian kedua-dua anggota berkenaan.
Menurut media Israel, letupan dipercayai berpunca daripada alat letupan buatan sendiri yang dipasang oleh kumpulan Hizbullah ketika anggota tentera Israel sedang memeriksa sebuah bangunan di Majdal Zoun.
Insiden itu berlaku ketika Lubnan dan Israel sedang mengadakan pusingan ketujuh rundingan di Rome, Itali, bagi membincangkan pelaksanaan gencatan senjata, pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan serta beberapa isu tertunggak lain.
Rundingan yang diperantara oleh Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung selama tiga hari itu dijangka berakhir hari ini.
Kejadian berkenaan sekali lagi mencerminkan ketegangan yang masih berterusan di selatan Lubnan walaupun perjanjian gencatan senjata telah dipersetujui sebelum ini.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan Israel sejak 2 Mac lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 4,333 orang, manakala 12,250 lagi cedera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








