Israel lancar serangan ke atas Iran
TEHRAN– Bunyi letupan kuat menggegarkan beberapa kawasan di ibu kota negara ini awal pagi ini, dipercayai serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel.
Menurut laporan stesen televisyen kerajaan Iran, pihak berkuasa setakat ini belum mendedahkan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dalam kenyataan pagi ini mengesahkan Israel telah melancarkan serangan awal atau serangan pencegahan ke atas Iran.
Beliau turut menjangkakan bahawa Tehran akan melancarkan serangan balas dalam masa terdekat yang mungkin melibatkan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah Israel serta penduduk awam.
Tindakan agresif tersebut berlaku tidak lama selepas bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran bahawa Israel mungkin akan menyerang kemudahan nuklear Iran.
Trump dalam kenyataannya sebelum ini menggesa Israel agar menangguhkan tindakan ketenteraan sambil menegaskan komitmennya terhadap penyelesaian diplomatik.
“Saya tidak mahu menyatakan ia hampir berlaku, tetapi nampaknya perkara ini berkemungkinan besar akan terjadi,” katanya kepada media di Rumah Putih apabila ditanya mengenai kemungkinan serangan oleh Israel.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera Israel, pihaknya mengesahkan bahawa serangan fasa pertama telah pun tamat.
Serangan tersebut melibatkan puluhan jet pejuang milik tentera udara Israel yang menyasarkan pelbagai lokasi strategik termasuk tapak ketenteraan dan nuklear di Iran.
“Beberapa ketika lalu, berpuluh-puluh pesawat pejuang Israel telah menyempurnakan fasa pertama serangan dengan mengebom puluhan sasaran ketenteraan termasuk kemudahan berkaitan nuklear yang terletak di beberapa lokasi berbeza di Iran,” jelas kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














