LUAR NEGARA

Kesatuan jururawat UK putus hubungan dengan syarikat farmaseutikal Israel

LONDON – Royal College of Nursing (RCN), kesatuan yang mewakili lebih 500,000 jururawat di United Kingdom (UK), menamatkan kerjasama komersial dengan syarikat farmaseutikal Israel, Teva UK, susulan dakwaan kaitannya dengan tentera Israel.

Keputusan itu menyaksikan Teva UK digugurkan sebagai penaja Sidang Kemuncak Kepimpinan Kejururawatan RCN yang dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini.

Pengerusi Majlis RCN, Carmel O’Boyle, memaklumkan keputusan berkenaan menerusi surat bertarikh 23 September kepada kumpulan Nurses 4 Palestine yang sebelum ini mengetengahkan isu kerjasama tersebut.

Nurses 4 Palestine bersama UK Healthcare Petitions to the Royal Colleges, selain golongan profesional penjagaan kesihatan dan anggota kesatuan sebelum ini menjalankan kempen mendesak institusi penjagaan kesihatan UK menamatkan kerjasama dengan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Menurut kumpulan itu, RCN dalam penelitian lanjut terhadap rekod global Teva Pharmaceuticals mendapati syarikat berkenaan tidak selaras dengan piawaian etika profesion kejururawatan, termasuk mengambil kira operasi yang pernah berdepan tindakan undang-undang dan penelitian awam.

RCN turut mengumumkan semakan menyeluruh terhadap dasar kerjasama komersialnya bagi memperkukuh proses penelitian terhadap rakan niaga pada masa akan datang.

Teva UK ialah anak syarikat milik penuh Teva Pharmaceutical Industries yang berpangkalan di Israel. Syarikat itu sebelum ini dijadualkan menjadi penaja program berkaitan migrain dan sakit kepala anjuran RCNi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button