Perbelanjaan subsidi turun 40.1 peratus tahun lalu
PUTRAJAYA – Perbelanjaan kerajaan bagi peruntukan subsidi tahun lalu turun 40.1 peratus kepada RM23.43 bilion daripada RM39.10 bilion pada 2024.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025, penurunan itu disumbang menerusi penurunan harga minyak mentah dunia dan pelaksanaan inisiatif penyasaran semula subsidi diesel serta petrol, lapor BERNAMA.
“Pengurangan perbelanjaan subsidi antaranya disebabkan penurunan harga minyak mentah dunia dan inisiatif penyasaran semula subsidi diesel bermula Jun 2024 serta subsidi petrol pada September 2025,: kata kenyataan itu, hari ini.
Laporan itu memaklumkan, harga purata minyak mentah dunia turun kepada USD69.053 setong pada 2025 daripada USD80.818 setong pada 2024.
Perbelanjaan subsidi petrol berkurangan 46.5 peratus kepada RM10.51 bilion daripada RM19.66 bilion, manakala subsidi diesel turun 48.2 peratus kepada RM5.98 bilion daripada RM11.54 bilion.
Subsidi gas petroleum cecair (LPG) pula berkurangan 29.1 peratus kepada RM2.63 bilion daripada RM3.71 bilion.
Sementara itu, perbelanjaan bagi pemberian kebajikan dan bantuan kepada masyarakat, individu serta keluarga meningkat 380.8 peratus kepada RM20.36 bilion tahun lalu daripada RM4.24 bilion pada 2024.
“Peningkatan perbelanjaan ini antaranya disebabkan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) dan Kos Operasi STR,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








