BERITA SEMASA

Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 kini dibawah tanggungjawab penuh Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR – Perkara berkenaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 sudah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tanggungjawab pelaksanaan subsidi bersasar itu kini bukan lagi di bawah pihaknya.

“Keputusan mengenai subsidi bersasar RON95 (sudah) diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan. Itu adalah keputusan Jemaah Menteri.

“Bagi pihak Kementerian Ekonomi, kami telah membawa perkara ini ke Jemaah Menteri sebanyak empat kali dan kedudukan terkini adalah untuk menunggu tindakan daripada Kementerian Kewangan.

“Mereka akan mengurus keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini. Kita perlu tunggu pengumuman daripada mereka,” katanya

Rafizi berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Rakan Kongsi Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), di sini hari ini.

Peralihan tanggungjawab itu mencerminkan pendekatan berpusat di bawah Kementerian Kewangan untuk penstrukturan semula subsidi, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal yang lebih menyeluruh.

Berdasarkan perbincangan awal Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 membabitkan dua peringkat.

Penentuan kelayakan akan diuruskan Kementerian Ekonomi sebelum dibawa ke Kabinet bagi kelulusan.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.

Penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi bahan api itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Sejumlah 85 peratus rakyat bagaimanapun tidak akan terkesan dengan langkah itu, yang membawa penjimatan dana kerajaan sebanyak RM8 bilion.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button