BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ambil tindakan segera isu cubaan sabotaj kerajaan – Zahid

KUALA LUMPUR – Dakwaan mengenai cubaan mensabotaj kerajaan kini berada di bawah siasatan pihak berkuasa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkara tersebut sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak perlu menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkenaan untuk menjalankan siasatan.

“Perkara ini sedang di dalam siasatan, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berkenaan.

“Bagi saya, perkara ini perlu diambil tindakan segera. Jika tidak, ia akan merebak seperti api dalam sekam dan tidak seharusnya kestabilan politik tergugat disebabkan seseorang yang merasakan media serta pihak luar digunakan untuk merosakkan kestabilan politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama warga pengurusan tertinggi FELDA di ibu negara hari ini.

Semalam, Polis telah mengambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara, melibatkan individu berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, individu warga tempatan berkenaan hadir secara sukarela untuk memberi keterangan selepas laporan dibuat mengenai perkara tersebut pada 26 Februari lepas.

Pada 3 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, siasatan awal PDRM mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button