Fadhlina kenang Cikgu Idrus sebagai ‘madrasah politik manusiawi’
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menyifatkan Allahyarham Cikgu Idrus Ibrahim sebagai sosok perjuangan yang banyak mendidik dan memberi panduan kepada generasi penerus.
Menerusi hantaran di media sosial, Fadhlina berkata, rumah Allahyarham bukan sekadar tempat untuk berkunjung, sebaliknya menjadi ruang untuk belajar dan menimba pengalaman serta hikmah.
Beliau menyifatkan rumah Cikgu Idrus sebagai sebuah “madrasah politik manusiawi”, dengan setiap kunjungannya sentiasa meninggalkan nasihat, peringatan dan kritikan yang membina.
“Setiap kali berpeluang menziarahi beliau, saya akan pulang membawa sesuatu. Kadang-kadang nasihat. Kadang-kadang peringatan. Ada waktunya kritikan yang cukup tajam kerana beliau mahu melihat perjuangan ini terus berada pada landasan yang betul,” katanya.
Menurut Fadhlina, walaupun rumah Allahyarham masih ada, sosok yang sentiasa dinantikan di kediaman berkenaan kini sudah tiada.
Katanya, Cikgu Idrus merupakan orang lama dalam perjuangan yang kaya dengan pengalaman dan hikmah, selain sentiasa mengingatkan bahawa perjuangan yang diwarisi hari ini dibina atas pengorbanan dan kesetiaan generasi terdahulu.
“Beliau selalu mengingatkan kami bahawa politik bukan hanya tentang menang atau kalah. Politik juga tentang manusia dan nilai yang kita pertahankan sepanjang perjalanan,” katanya.
Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada Allahyarham atas segala nasihat dan didikan yang diberikan sepanjang hayatnya.
“Terima kasih, Cikgu Idrus. Terima kasih kerana tidak pernah jemu mengingatkan dan mendidik kami.
“Semoga Allah SWT menerima segala amal dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








