BERITA SEMASA

IRC 2026: Kemajuan digital mesti berteraskan manusia – Nie Ching

KUALA LUMPUR – Kemajuan digital tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu diukur melalui keupayaannya meningkatkan kesejahteraan, memperluas peluang serta memperbaiki kehidupan masyarakat.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum, kesihatan digital dan robotik termaju perlu kekal berorientasikan manusia (people-centred) agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.

Beliau berkata, perbincangan sepanjang Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 menunjukkan bahawa kemajuan teknologi dan kesan terhadap manusia tidak boleh dipisahkan.

“Ujian sebenar ialah sama ada teknologi mampu meningkatkan kesejahteraan, memelihara autonomi individu, memperluaskan peluang serta memperbaiki kehidupan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup IRC 2026 di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.

Menurut beliau, cabaran utama kini adalah menterjemahkan segala pandangan dan hasil perbincangan persidangan itu kepada tindakan sebenar yang memberi impak kepada masyarakat.

Katanya, usaha tersebut memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan, badan pengawal selia, industri, institusi akademik dan masyarakat sivil, selain pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat yang bersedia menghadapi keperluan masa depan.

“Tiada satu institusi atau sektor mampu menangani cabaran ini secara bersendirian.

“Keupayaan kita untuk bertindak balas bergantung kepada kekuatan kerjasama dan perkongsian yang dibina,” katanya.

Nie Ching berkata, walaupun pendekatan kawal selia digital berbeza mengikut bidang kuasa setiap negara, prinsip asas tadbir urus digital semakin dikongsi bersama.

Beliau berkata, elemen seperti kepercayaan, kebertanggungjawaban, keterangkuman, daya tahan dan maruah insan perlu kekal menjadi teras dalam membentuk dasar serta peraturan berkaitan teknologi.

“Pertukaran pandangan merentasi sempadan akan terus menjadi penting apabila muncul peluang baharu, risiko yang semakin kompleks serta persoalan kawal selia berkaitan teknologi,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan digital global sebagai ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU Council).

Menurut beliau, Malaysia komited untuk memajukan pembangunan digital yang dipercayai, inklusif dan berdaya tahan, selain berkongsi pengalaman serta mempelajari amalan terbaik daripada negara lain.

“Kita juga akan memastikan segala pandangan dan kerjasama yang terhasil melalui IRC dimanfaatkan dalam pembentukan dasar masa depan, amalan industri serta kerjasama serantau,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penceramah, moderator, delegasi, rakan strategik serta pasukan MCMC yang menjayakan IRC 2026 sebagai platform dialog, pembelajaran dan kerjasama.

Katanya, kepelbagaian pandangan yang dikongsikan sepanjang dua hari persidangan itu telah memperkukuh pemahaman bersama mengenai peluang serta tanggungjawab dalam membentuk masa depan digital.

“Teknologi masa depan bukan sahaja akan dibentuk oleh apa yang kita cipta, tetapi juga oleh pilihan yang kita buat tentang bagaimana inovasi ditadbir urus dan siapa yang menerima manfaat daripadanya,” katanya.

Beliau berkata, nilai sebenar IRC 2026 akan diterjemahkan melalui keputusan, kerjasama dan tindakan yang diambil selepas persidangan itu.

“Kita perlu terus bekerjasama membentuk masa depan digital yang dipercayai, berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button