BERITA SEMASA

Dakwa azan tidak berkumandang tiga hari di Bangi: Syahredzan Johan cabar buktikan dakwaan

BANGI – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menafikan dakwaan menerusi TikTok bahawa laungan azan tidak berkumandang di Bangi selama tiga hari termasuk azan Subuh.

Beliau berkata, dakwaan itu disifatkan sebagai tuduhan jahat dan tidak berasas.

Malah beliau turut mempersoal apabila tuduhan itu cuba dikaitkan dengan DAP.

“Masjid mana, surau mana di Bangi? Apa tujuan buat tohmahan seperti ini? Politik sampah!” katanya.

Menurutnya, tuduhan bahawa azan Subuh tidak berkumandang di Bangi merupakan dakwaan serius yang tidak sepatutnya dibuat tanpa mengemukakan bukti atau menyatakan lokasi masjid atau surau yang didakwa terlibat.

“Tuduhan yang cukup jahat untuk kata di Bangi tiada azan Subuh,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak yang membuat dakwaan supaya menjelaskan masjid atau surau yang dimaksudkan dan mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut.

Penyebaran dakwaan tanpa pengesahan, katanya, hanya boleh mencetuskan kekeliruan dan sentimen dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila ia dikaitkan dengan isu agama dan politik.

Terdahulu tular video di akaun TikTok AyahSoh Caregiver yang mendakwa azan subuh sudah tiga hari tidak berkumandang dari surau dan masjid berdekatan rumahnya di Bangi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button