IRC 2026: Malaysia boleh contohi Arab Saudi perkasa ekosistem kesihatan digital
KUALA LUMPUR – Pengalaman Arab Saudi dalam membangunkan ekosistem kesihatan digital secara menyeluruh boleh dijadikan rujukan Malaysia dalam mempercepat transformasi penjagaan kesihatan berasaskan teknologi.
Ketua Pembangunan Perniagaan Strategik Antarabangsa Cloud Solutions (Habib Medical Group), Joseph Walker-Cousins berkata, pembangunan kesihatan digital tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan hospital pintar, sebaliknya perlu melibatkan keseluruhan ekosistem termasuk penyedia perkhidmatan kesihatan, syarikat teknologi, pengawal selia, syarikat insurans, doktor dan pesakit.
“Kami telah menghabiskan lebih sedekad membangunkan ekosistem kesihatan digital di Arab Saudi. Apa yang dipelajari ialah kejayaan hanya boleh dicapai apabila semua pihak berkepentingan bekerjasama dan berkongsi data secara selamat bagi membolehkan doktor memberikan rawatan yang lebih baik kepada pesakit.
“Kami berharap dapat membawa pengalaman dan teknologi ini ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di sini.
Beliau merupakan salah seorang speaker dalam sesi Dialog 9 bertajuk Innovation Driven Autonomous Ecosystems and Industry Transformation.
Persidangan bertemakan ‘Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust‘ anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu menghimpunkan pengawal selia, pembuat dasar, pemain industri, ahli akademik dan pakar teknologi dari dalam serta luar negara bagi membincangkan cabaran dan masa depan tadbir urus digital.

Menurut Joseph, IRC 2026 menyediakan platform terbaik untuk mengukuhkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, syarikat teknologi, syarikat telekomunikasi dan komuniti akademik dalam membentuk masa depan ekonomi digital.
“Saya amat kagum melihat pelbagai pihak dari Malaysia dan luar negara berkumpul untuk berkongsi idea serta pengalaman. Persidangan ini dianjurkan secara profesional dan mewujudkan suasana yang sangat positif untuk membincangkan hala tuju teknologi digital,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau yang pertama kali menyertai IRC berkata, walaupun ia merupakan lawatan ketiganya ke Malaysia, beliau berharap penyertaan kali ini menjadi permulaan kepada kerjasama strategik yang lebih kukuh antara Habib Medical Group dan Malaysia.
Mengulas mengenai perkembangan kecerdasan buatan (AI), Joseph berkata, pengawal selia perlu mengimbangi antara perlindungan pengguna dengan usaha menggalakkan inovasi supaya teknologi baharu dapat berkembang secara bertanggungjawab.
Katanya, pendekatan kawal selia yang terlalu ketat berisiko memperlahankan inovasi, manakala kawal selia yang terlalu longgar pula boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan data dan pesakit.
“Pendekatan terbaik ialah menyediakan regulatory sandbox atau projek perintis supaya teknologi baharu, termasuk AI, dapat diuji dalam persekitaran terkawal sebelum diperluaskan penggunaannya.
“Pengawal selia perlu memberi panduan yang jelas tanpa terlalu menghalang pembangunan teknologi. Selepas sesuatu penyelesaian terbukti berkesan, ia perlu dibenarkan berkembang dengan pemantauan yang berterusan,” katanya.
Joseph turut berkongsi bahawa Arab Saudi mengamalkan pendekatan kawal selia yang lebih fleksibel, namun tetap memberi penekanan terhadap perlindungan data, keselamatan pesakit dan pengurusan risiko klinikal.
Beliau berkata, Malaysia juga boleh memanfaatkan pengalaman negara lain seperti United Kingdom dengan mengambil amalan terbaik dalam aspek tadbir urus digital tanpa perlu mengulangi kesilapan yang pernah berlaku.
“Teknologi berkembang terlalu pantas. Jika kita mahu kekal berdaya saing dan memastikan AI benar-benar memberi manfaat kepada pesakit, doktor serta sistem kesihatan, kita memerlukan rangka kerja kawal selia yang tangkas, fleksibel dan sentiasa berkembang mengikut perubahan teknologi,” katanya.
IRC 2026 yang memasuki tahun ketiga penganjuran mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab dialog dasar digital, sekali gus menyokong aspirasi negara membangunkan ekosistem digital yang selamat, inklusif, dipercayai dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















