BERITA SEMASAPMX

Kerajaan semak pemohon pelaburan baharu, pastikan jana pekerjaan dan manfaat ekonomi – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperketat semakan terhadap pemohon pelaburan baharu bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan yang dibawa masuk ke Malaysia mewujudkan pekerjaan serta memberikan manfaat kepada ekonomi domestik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting susulan terdapat syarikat yang menggunakan kemudahan gudang dan menjalankan aktiviti transit di negara ini tanpa memberikan sumbangan ketara dari segi pekerjaan atau ekonomi.

Beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memaklumkan kerajaan mengenai perkara berkenaan dan beberapa aktiviti terbabit sudah dihentikan.

“MITI memaklumkan kepada kerajaan tentang kehadiran beberapa syarikat yang menggunakan gudang (namun) tidak menyediakan sebarang kelebihan, baik dari segi pekerjaan mahupun manfaat ekonomi.

“Kita telah menghentikan aktiviti tersebut, tetapi kita perlu menyemak semula pemohon baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit 2026, di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika mengulas persoalan berkaitan kemasukan produk murah dari luar negara melalui platform perdagangan rentas sempadan seperti Temu dan Pinduoduo serta langkah kerajaan memastikan pasaran yang mampan dan adil kepada peniaga tempatan.

Menurutnya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia menyediakan ruang luas kepada perniagaan, namun perkembangan perdagangan digital dan dalam talian turut meningkatkan kemasukan produk luar ke pasaran domestik.

“Malaysia ini negara perdagangan bebas… sekarang ini bila ada (platform) digital dan dalam talian, nampak kemasukan (perniagaan) itu sudah bertambah.

“Kadang-kadang (mereka menawarkan) kos paling rendah, sekarang dia panggil dumping, supaya dia dapat menguasai pasaran,” katanya memetik laporan Bernama.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membangkitkan kebimbangan terhadap kegiatan perniagaan yang mendaftarkan syarikat kecil menggunakan nama tempatan, sedangkan produk yang dijual sepenuhnya diimport.

“Kadang-kadang daftar syarikat kecil dengan menggunakan nama kedai kopi, guna nama perniagaan tempatan. Yang jualannya kopi, teh, biskut, semuanya barangan import.

“Tak ada langsung faedah bagi masyarakat, perniagaan tempatan,” katanya.

Beliau turut memberi contoh pelabur berskala besar yang menyewa gudang di Pelabuhan Klang tetapi tidak mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan atau permintaan terhadap produk tempatan.

“Ada pelabur besar masuk, dia sewa gudang di Pelabuhan Klang. Tak ada langsung keperluan ambil kerja tempatan ataupun produk tempatan.

“Jadi isu ini perlu ditangani. Kita telah memantau, pegawai penguat kuasa sudah pun mulai ambil beberapa tindakan,” katanya.

Anwar berkata, perkembangan itu memerlukan penelitian lebih menyeluruh bagi memastikan syarikat yang beroperasi di Malaysia benar-benar memberikan nilai tambah dan manfaat kepada ekonomi domestik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button