Anwar tegaskan sokongan misi kemanusiaan Gaza, bukan inisiatif peribadi
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak layak menerima penghargaan atas penganjuran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) serta Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).
Sebaliknya ujar beliau, usaha itu digerakkan sepenuhnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global dan inisiatif anak muda yang prihatin terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Inisiatif (GSF dan FFC x TMTG) bukan inisiatif saya. Saya tak boleh ambil kredit.
“Ada sekumpulan anak muda di negara ini mahu menerajui usaha berkenan dan saya kata okey. Kita beri sokongan dan bantuan.
“Mereka kemudiannya meminta saya untuk menyatakan sokongan penuh serta memberi pengiktirafan secara rasmi (bagi usaha berkenaan), dan saya kata, ‘Ya’ kepada mereka.
“Kebetulan pula saya menjadi pemimpin pertama di dunia yang menyatakan sokongan rasmi (kepada gagasan GSF dan FFC x TMTG),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman.
Anwar juga mengumumkan bahawa beliau akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi bagi membincangkan pelaksanaan gelombang kedua Sumud Nusantara melalui lintasan Rafah, selaras dengan perkembangan terkini gencatan senjata dalam perjanjian damai Hamas-Israel.
Beliau menghargai peranan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani serta Abdel Fattah dan negara-negara lain yang menyokong inisiatif keamanan itu.
“Kita harap gencatan senjata ini berjaya kerana ia penting untuk kestabilan rantau berkenaan dan kemanusiaan secara keseluruhan.
“Pasukan pengantara kini berada di Sharm el-Sheikh, Mesir untuk membincangkan fasa awal pelaksanaan. Saya juga pesan kepada rakan kita dalam Sumud Nusantara Flotilla supaya kali ini kamu tidak perlu melalui laut, sebaliknya melalui darat,” tambah beliau.
Anwar menekankan bahawa langkah itu bertujuan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Gaza dengan lebih selamat dan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















