Keamanan, kestabilan kunci jayakan ASEAN Community 2045 – PM
KUALA LUMPUR – Keamanan dan kestabilan serantau menjadi asas utama dalam menjayakan kemajuan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat di rantau ini, sekali gus memperkukuh visi ASEAN Community 2045.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kekuatan ASEAN berpaksi pada semangat muafakat, budaya wacana yang segar serta keyakinan bersama yang kukuh.
“Justeru, hanya dengan menjamin keamanan dan kestabilan serantau adalah kunci utama kepada jalan ke arah kemajuan ekonomi yang lebih mendakap, serta memungkinkan kesejahteraan dan masa depan buat warga,” katanya dalam kenyataan.
Anwar menambah, keamanan tidak bermaksud ketiadaan konflik atau kemelut, sebaliknya menuntut kewujudan keadilan, integriti serta prinsip hormat antara negara jiran.
“Walhasil, dalam dunia yang semakin kompleks, prinsip ‘centrality’ ASEAN terpakai tegas sebagai kompas strategik untuk kita semua.
“Dari kerjasama ekonomi Johor-Singapura, hingga ke usaha menerapkan keamanan di sempadan Thailand-Kemboja, kita sedang meletakkan asas kukuh dalam menundukkan prasangka serta membuka ruang untuk kerjasama serta persefahaman baharu,” katanya.
Jelas beliau, Malaysia bersama negara anggota ASEAN akan terus komited menjunjung visi dan aspirasi ASEAN Community 2045 dengan memperkukuh jaringan keselamatan, meningkatkan perkongsian risikan serta memastikan tiada negara atau masyarakat yang dipinggirkan.
“Ini makna sebenar ASEAN yang aman, makmur, dan berteraskan rakyat, iaitu sebuah ketumbukan yang mampu menzahirkan keadilan dan mencambah harapan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














