PMXPOLITIK

PRN: Anwar mahu Pakatan Harapan ada suara lebih kuat dalam kerajaan Melaka

PAYA RUMPUT – Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai suara lebih kuat dalam pentadbiran Melaka bagi membolehkan kerajaan Persekutuan dan negeri bekerjasama meningkatkan taraf hidup rakyat, kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerjasama antara kedua-dua kerajaan penting bagi memastikan pelbagai usaha pembangunan dan kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan rakyat.

“Kalau tidak, seluruh negeri mesti ada suara kita yang kuat. Dapat negeri? Alhamdulillah. Tapi mesti ada suara yang kuat mewakili Melaka,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Perdana Melaka Rumah Kita DUN Paya Rumput sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini malam ini.

Baca juga : Pelaburan Google RM61 bilion bukti keyakinan terhadap kestabilan Malaysia – Anwar

Anwar berkata, rakyat perlu memberi peluang kepada PH untuk memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri supaya agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan sokongan kerajaan Persekutuan.

“Melaka mesti baik. Kita ada kerajaan Persekutuan macam ini, kita ada kerajaan negeri macam ini, jadi kita boleh bantu angkat nasib rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat supaya menolak politik berasaskan sentimen perkauman dan tidak menjadikan perbezaan kaum sebagai penghalang kepada kerjasama dalam membangunkan negeri.

Katanya, kepentingan orang Melayu sebagai kaum majoriti perlu terus dipelihara, namun kebajikan masyarakat Cina, India dan kaum lain juga tidak boleh diketepikan.

Beliau berkata, keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan asas penting untuk memastikan kestabilan negeri dan negara terus terpelihara.

“Rugi tak kalau saya cakap saya sayang anak Cina, anak Melayu, anak India? Ini negeri kalau kita jaga, semua boleh angkat,” katanya.

Anwar turut mempertahankan kerjasama politik dengan DAP sambil menolak dakwaan parti itu bersikap anti-Melayu dan anti-Islam.

Katanya, dakwaan berkenaan perlu dinilai secara adil dan tidak seharusnya dibuat berdasarkan pandangan segelintir individu.

“Ini DAP anti-Melayu? Di mana anti-Melayu? Di mana, beritahu saya. Di mana dia DAP anti-Islam, anti-Melayu?” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dalam kerajaan perlu berasaskan prinsip keadilan serta kesediaan untuk bersama-sama melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, usaha membantu masyarakat Melayu tidak pernah dihalang oleh rakan kerjasama dalam kerajaan, malah beberapa perubahan turut dilaksanakan melalui kerjasama berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pengundi supaya tidak meminggirkan mana-mana calon hanya berdasarkan kaum atau tempat mereka bekerja.

Katanya, Melaka merupakan negeri yang perlu dibangunkan bersama dan semua masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan masa depannya terus terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button