PRN Melaka: Anwar yakin perubahan berlaku walau bukan kubu kuat PH
MACHAP JAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin perubahan politik mampu berlaku di Melaka meskipun negeri itu bukan kubu kuat gabungan berkenaan.
Beliau berkata, pengalaman PH di beberapa negeri termasuk Selangor dan Perak menunjukkan landskap politik boleh berubah mengikut keadaan dan sokongan rakyat.
“Saya tahu mereka kata Melaka bukan kubu PH. Saya tahu, dulu Selangor tak pernah jadi kubu PH, Perak tak pernah jadi kubu PH. Ya, ada masa pasang surut.
“Tetapi kali ini, saya percaya kita boleh mula membawa perubahan. Berilah peluang kepada kita untuk membawa perubahan demi menyelamatkan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali di Kampung Permai, Machap Umboo, di sini, hari ini.
Anwar turut mengingatkan calon PH supaya memberi perhatian kepada masalah asas penduduk termasuk sistem perparitan, jalan raya, banjir, sekolah dan klinik kesihatan.
Beliau berkata, wakil rakyat perlu memainkan peranan membawa masalah setempat kepada perhatian Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan.
Menurutnya, kepentingan memilih pemimpin berintegriti serta menolak politik berasaskan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.
“Masalah Melayu bukan Cina. Masalah Cina bukan India. Masalah kita ini rasuah. Masalah kita ini orang menipu, orang mencuri,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar turut memperkenalkan tiga calon PH iaitu Datuk Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya), Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia) dan Denesh Palasubraniam (Asahan).
PH bertanding di 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka kali ini, berbanding lima kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya 2021.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














