Mesyuarat MTEN nilai semula kemajuan pelaksanaan keputusan kerajaan
PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menilai kemajuan pelaksanaan keputusan-keputusan MTEN pada tahun lalu.
Perdana Menteri dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata, antara perkara yang disentuh termasuk pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan pada 2 Januari lalu.
“Terkait dengan pelaksanaan PADU, mesyuarat telah membentangkan kemajuan semasa dan memberi pandangan langkah-langkah yang perlu diambil oleh agensi berkaitan.
“Ini terutamanya berkaitan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran,” katanya.
Mesyuarat dihadiri menteri-menteri kanan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.
Anwar berkata, mesyuarat MTEN juga membincangkan mengenai penambah baikan tata kelola Approved Permit (AP) dan Permit Import (IP) ke arah meningkatkan daya saing negara.
Usaha itu menurutnya bertujuan mencari formula yang bukan sahaja memberi keuntungan kepada pengguna tetapi kepada pengeluar tempatan demi keterjaminan bekalan makanan negara.
“Beberapa perkara turut dipersetujui, antaranya setiap agensi kawal selia yang berkaitan diminta mengemukakan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisa risiko import,” katanya.
Selain itu katanya, Ketua Audit Negara disaran untuk melaksanakan proses audit bagi sektor-sektor terpilih bagi memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat yang telah ditetapkan.
Perdana Menteri turut mengarahkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tata kelola dan pengimportan barangan halal.
Pada masa yang sama, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diarah mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








