PMX

Anwar tiba di Shanghai, mulakan lawatan kerja tiga hari

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Shanghai, China petang tadi bagi memulakan lawatan kerja atas undangan Kerajaan China.

Anwar berkata, beliau akan mengadakan sesi perjumpaan bersama pemain industri sebelum menghadiri Majlis Perasmian Pertandingan Kemahiran Dunia (WorldSkills Competition) Shanghai 2026.

“Alhamdulillah, selamat tiba di Shanghai, dan langsung memulakan langkah Diplomasi MADANI tatkala malam kian melabuhkan tirainya di bumi China.

“Insya-Allah saya akan mengadakan sesi perjumpaan bersama pemain industri, sebelum menghadiri Majlis Perasmian Pertandingan Kemahiran Dunia (WorldSkills Competition) Shanghai 2026.

“Doakan usaha dan ikhtiar delegasi Malaysia dipermudahkan dan mencapai kejayaan yang diharapkan demi kemakmuran tanah air kita,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan, Anwar akan menghadiri Persidangan WorldSkills Shanghai ke-48 (WSC) 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang di Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia Shanghai malam ini.

Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri diberi penghormatan menyampaikan ucaptama sempena persidangan itu esok.

“Ucaptama itu menjadi platform penting untuk menegaskan semula komitmen Malaysia terhadap usaha pengukuhan hubungan dua hala.

“Ini termasuk mengetengahkan peluang untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pembangunan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ekonomi digital,” katanya.

Sempena persidangan itu, Malaysia turut menghantar kontinjen menyertai Pertandingan WorldSkills membabitkan 22 peserta dalam 21 bidang kemahiran.

Chef de Mission kontinjen Malaysia ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Wisma Putra berkata, Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan ucaptama di Ekspo Perdagangan Digital Global (DTE) Kelima di Hangzhou esok.

“Anwar akan menghadiri majlis pelancaran buku ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times’ yang diterjemahkan ke bahasa Mandarin.

“Selepas itu, Perdana Menteri akan pertemuan dua hala bersama Qiang disusuli Majlis Makan Malam dihoskan Perdana Menteri China itu,” katanya.

Sebagai rekod, ini adalah lawatan keempat Anwar ke China sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button