POLITIK

Muhyiddin cadang Anwar pecat menteri yang tidak sehaluan

MELAKA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Anwar Ibrahim supaya memecat menteri yang tidak sehaluan sambil mendakwa mereka akan menggagalkan segala dasar kerajaan.

Beliau yang juga bekas perdana menteri berkata, cadangan itu patut dipertimbang memandangkan perbalahan terbuka antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dengan Anwar, yang boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan dasar, lapor SH Online.

“Kalau saya jadi Perdana Menteri, saya dah pecat mereka. Saya rombak Kabinet dan tentukan supaya mereka yang tidak sehaluan dengan saya ini tidak boleh duduk di situ, malah tidak boleh bersama dalam kerajaan.

“Sebab mereka akan menggagalkan segala dasar kerajaan. Mungkin tujuan itulah yang mereka lakukan supaya kerajaan yang dipimpin Anwar akan tumbang,” katanya ketika membantu kempen calon BERSATU di Pengkalan Batu, Melaka, hari ini.

Muhyidin menambah, pendirian BN semakin menimbulkan kekeliruan memandangkan parti itu masih mempunyai wakil dalam kerajaan termasuk timbalan perdana menteri, menteri, dan timbalan menteri.

Katanya, sebagai anggota kerajaan, sebarang ketidakpuasan hati terhadap dasar atau keputusan pentadbiran sepatutnya diselesaikan menerusi perbincangan di peringkat parti atau Kabinet, bukannya diluahkan secara terbuka.

“Prinsipnya, kalau kita menjadi anggota dalam sebuah kerajaan, kita tidak mengecam kerajaan sendiri atau parti yang ada dalam kerajaan. Itu prinsip biasa.

“Apa-apa isu yang tidak dipersetujui, bawa berbincang di peringkat parti atau Kabinet, bukan diluahkan di luar sehingga menunjukkan bukan sahaja berlaku keretakan, malah seolah-olah kerajaan perpaduan sudah mahu pecah,” katanya.

Pada 5 Nov, Anwar mencabar menteri Kabinet yang mengkritik kerajaan perpaduan semasa berkempen pada PRN Melaka membangkitkan rungutan mereka pada mesyuarat Kabinet.

Beliau sebelum ini pernah membidas pemegang jawatan persekutuan yang menggunakan kedudukan mereka untuk mengkritik rakan kongsi kerajaan perpaduan pada kempen PRN Negeri Sembilan, Ogos lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button