Bengkel Komuniti Digital iDagang MADANI perkasa kemahiran AI, jana pendapatan
MELAKA – Seramai kira-kira 30 peserta menyertai Bengkel Komuniti Digital iDagang MADANI bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat dalam menguasai teknologi digital, khususnya kecerdasan buatan (AI).
Pengerusi Persatuan Pendidikan Karya Digital Malaysia, Ahmad Zahid Khalid berkata, program yang diadakan di Melantak Steak House, Klebang itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan teknologi digital dalam aktiviti perniagaan dalam talian.
Menurutnya, bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada penggunaan platform TikTok dan Shopee dengan penerapan elemen AI bagi membantu peserta memahami perkembangan dunia perniagaan digital.

“Program ini bertujuan mencelikkan masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai keperluan menguasai dunia digital terutama AI.
“Melalui pembelajaran iDagang ini, kita menerapkan penggunaan platform TikTok dan Shopee serta elemen AI supaya masyarakat dapat bergerak seiring dengan usaha kerajaan menghadapi perkembangan teknologi berkenaan,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika ditemui selepas program berkenaan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, bengkel itu turut memberi peluang kepada pihak penganjur menilai tahap pengetahuan digital dan AI dalam kalangan peserta, khususnya generasi Z serta golongan lebih berusia.
Menurutnya, penganjuran program itu bukan sekadar memberi pendedahan teknologi, sebaliknya bertujuan membekalkan ilmu yang boleh dimanfaatkan peserta untuk menjana pendapatan pada masa hadapan.
Program berkenaan merupakan kerjasama Persatuan Pendidikan Karya Digital Malaysia dan Khidmat Malaysia dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














