PRN Melaka : Nana sasar tarik pelaburan, buka peluang kerja di Klebang
MELAKA – Usaha menarik lebih banyak pelaburan bagi membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda antara fokus calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir atau lebih dikenali sebagai Nana.

Beliau berkata, Klebang mempunyai potensi ekonomi yang besar berikutan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama di Melaka, sekali gus membuka ruang untuk menarik pelaburan dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Menurutnya, kemasukan pelaburan baharu mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada anak muda yang memerlukan pekerjaan lebih stabil.
“Semua orang tahu Klebang merupakan destinasi pelancongan. Orang kalau turun ke Melaka, mereka akan kata Klebang.

“Jadi, kita nampak ada banyak peluang yang boleh dibuat, contohnya menarik pelaburan ekonomi masuk ke Klebang dan dengan itu kita boleh membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda khususnya,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan walkabout di Pasar Malam Pantai Klebang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nana berkata, beliau turut memberi perhatian kepada kebajikan wanita khususnya ibu tunggal muda yang berdepan cabaran mengimbangi tanggungjawab mencari pendapatan dengan menguruskan keluarga.

Katanya, hasil pertemuan bersama penduduk ketika turun padang, beliau mendapati terdapat ibu tunggal yang perlu bekerja bagi menyara keluarga selain menguruskan anak-anak dan ibu bapa di rumah.
Sehubungan itu, beliau sedang mencari pendekatan untuk membantu golongan berkenaan termasuk dari segi penambahan pendapatan isi rumah serta akses kepada bantuan kerajaan Persekutuan.
“Kita sedang fikir dan cuba cari penyelesaian untuk membantu dari segi penambahan pendapatan isi rumah serta bagaimana mendapatkan bantuan daripada kerajaan Persekutuan untuk ibu tunggal dan wanita,” katanya.
Mengulas isu pembangunan setempat, Farzana berkata beberapa perkara termasuk masalah dihadapi nelayan, pesawah, peniaga, wanita dan golongan belia telah dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tindakan lanjut di peringkat Persekutuan.
Katanya, beliau telah menyerahkan surat kepada Perdana Menteri ketika pertemuan bersama Persatuan Perniagaan Klebang sebelum ini dan akan membuat susulan bagi mempercepatkan penyelesaian isu berkenaan.
“Masalah capaian internet di kawasan itu setakat ini masih terkawal dan bukan antara isu utama yang dibangkitkan penduduk,” katanya.
Farzana turut berkata, pengalaman bertanding di DUN Sungai Rambai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini turut membantunya membuat persiapan lebih awal di Klebang.
Beliau yang merupakan anak jati Bukit Rambai berkata, gerak kerja termasuk penyusunan jentera telah dilakukan lebih awal bagi memahami keperluan penduduk dan menghadapi cabaran sepanjang kempen.
Farzana Hayani akan berdepan saingan empat penjuru di DUN Klebang pada PRN Melaka kali ini menentang penyandang, Datuk Lim Ban Hong daripada Barisan Nasional (BN-MCA), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (BERSATU) dan Young Jie Yu daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














