BERITA SEMASA

AGC tolak dakwaan ingkar titah Agong dalam isu Najib

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak dakwaan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya AGC menegaskan, tindakan mendapatkan penjelasan mahkamah mengenai kesan undang-undang perintah pelepasan Najib adalah langkah bertanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan hukuman penjara dan Perintah Pengampunan Bersyarat dibuat mengikut undang-undang.

Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak

Menurut AGC, pihaknya tidak pernah mempertikaikan, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“AGC memandang serius penggunaan ungkapan yang menggambarkan tindakan Peguam Negara sebagai suatu penghinaan atau penderhakaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Dakwaan sedemikian adalah tidak berasas berdasarkan persoalan undang-undang yang telah dibangkitkan oleh AGC,” menurut kenyataan media jabatan itu hari ini.

AGC berkata, persoalan yang memerlukan penentuan mahkamah bukan mengenai kesahan atau kewibawaan perintah pengampunan bertarikh 18 September 2026, sebaliknya berkaitan kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Ia membabitkan persoalan sama ada hukuman penjara Najib dalam kes SRC International masih berkuat kuasa atau telah selesai dari segi undang-undang, serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isu itu timbul selepas Najib membayar denda RM50 juta semalam, sekali gus membawa kepada pengeluaran Order of Discharge on Payment of Fine oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perintah berkenaan menyatakan Najib boleh dilepaskan serta-merta selepas pembayaran denda, namun turut menyebut beliau perlu menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.

AGC berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada perintah pelepasan berkenaan hanya berkaitan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman SRC International diteruskan melalui tahanan di rumah, atau membawa kesan bahawa hukuman dalam kes tersebut telah selesai.

Menurutnya, perkara itu mempunyai kaitan langsung dengan hukuman penjara dalam kes 1MDB yang diperintahkan Mahkamah Tinggi bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.

Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB juga telah ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu.

“Persoalan ini mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza dan tidak sewajarnya diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak,” menurut kenyataan itu.

AGC turut menjelaskan bahawa kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berbeza daripada kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah.

Justeru, usaha mendapatkan penjelasan mahkamah tidak boleh disamakan dengan tindakan mengambil alih atau mempersoalkan prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda.

“AGC berpandangan bahawa saluran yang sewajarnya untuk menyelesaikan persoalan ini ialah melalui Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa, supaya keputusan dan arahan pelaksanaan yang jelas dapat diperoleh tanpa menjejaskan kedudukan mana-mana institusi,” menurut kenyataan itu.

AGC berkata penentuan segera mahkamah juga penting bagi memelihara hak Najib sendiri.

Menurutnya, sekiranya mahkamah memutuskan hukuman SRC International telah selesai, penerusan tahanan atas dasar hukuman itu berisiko menyebabkan Najib menjalani tahanan melebihi tempoh yang sepatutnya.

Sebaliknya, jika hukuman tersebut masih berkuat kuasa, pelaksanaannya hendaklah mematuhi terma Perintah Pengampunan Bersyarat serta perintah mahkamah yang berkaitan.

“Langkah ini bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya untuk mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan perintah-perintah yang berkuat kuasa serta memastikan bahawa tiada hukuman dilaksanakan secara tidak sah,” menurut kenyataan itu.

AGC turut menolak dakwaan bahawa Peguam Negara bertindak melampaui bidang kuasa atau menyebabkan Najib ditahan secara tidak sah, sambil menegaskan sebarang dakwaan sedemikian tidak seharusnya dibuat tanpa asas fakta yang jelas.

Jabatan itu berkata, tanggungjawab memastikan titah pengampunan dilaksanakan dengan tepat dan selaras dengan perintah mahkamah yang berkuat kuasa merupakan sebahagian daripada usaha menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong serta kedaulatan undang-undang.

AGC menegaskan pihaknya tidak berhasrat untuk berbalas dakwaan melalui media berhubung perkara yang sewajarnya ditentukan menerusi proses kehakiman, sebaliknya kekal komited memastikan setiap hukuman dilaksanakan secara sah, teratur dan tepat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button