BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan tuduh suspek kes buli Zara Qairina tidak berkaitan kematian – AGC

PUTRAJAYA – Keputusan untuk menuduh suspek-suspek yang terlibat dalam kes buli membabitkan Allahyarham Zara Qairina adalah merujuk semata-mata kepada perbuatan buli dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kematian pelajar berkenaan.

Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), perenggan keempat daripada kenyataan media yang dibuat oleh barisan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina adalah spekulatif dan tidak disokong oleh fakta yang tepat.

“Berdasarkan penelitian Jabatan ini terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina,” kata AGC dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Kes Zara Qairina: Peguam rayu AGC tangguhkan pendakwaan 5 remaja

Sehubungan itu, AGC sekali lagi menegaskan pendakwaan terhadap kes berkenaan dilakukan bersandarkan bukti dan fakta hasil siasatan pihak berkuasa.

“Dalam hal tersebut, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina,” tambah kenyataan tersebut.

Terdahulu, barisan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina memohon agar Peguam Negara menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja yang akan dituduh di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli pelajar berkenaan.

Barisan peguam tersebut, Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser berkata, penangguhan itu dimohon bagi memberi ruang kepada Peguam Negara mempertimbangkan supaya semua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Mereka menyatakan kebimbangan bahawa sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) diteruskan dan kelima-lima remaja mengaku bersalah, mereka tidak lagi boleh didakwa sekiranya inkues atau siasatan lanjut kelak menemui bukti wujudnya kesalahan lebih berat di bawah Seksyen 507D(2) atau peruntukan undang-undang lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button