BERITA SEMASA

Tabung Haji buka semula sistem selepas serangan siber, jamin simpanan pendeposit selamat

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) kembali menyediakan sistem dan perkhidmatan utamanya selepas selesai menjalankan pemeriksaan keselamatan serta kerja pemulihan susulan serangan siber pada 8 Oktober lalu.

Menurut TH, semua cawangan di Kedah, Terengganu dan Kelantan kembali beroperasi pada Ahad, manakala cawangan di negeri lain dibuka seperti biasa hari ini.

Katanya, tindakan menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatan di semua saluran sebelum ini bertujuan melindungi simpanan serta maklumat peribadi pendeposit.

“TH kesal atas serangan siber terhadap sistemnya yang menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pendeposit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak insiden berkenaan, TH bekerjasama dengan pakar luar dan pihak berkuasa keselamatan siber negara bagi menyiasat kejadian, menangani ancaman serta memulihkan sistem.

Selain itu, TH turut membuat laporan polis dan memaklumkan insiden itu kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Perkhidmatan melalui bank rakan strategik TH juga kembali beroperasi, namun bagi perkhidmatan THIJARI, fungsi penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun dalam talian masih belum tersedia kerana memerlukan tindakan pemulihan lanjut.

TH berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai fungsi berkenaan melalui saluran rasminya.

Dalam pada itu, TH memberi jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat dan pemantauan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem yang dipulihkan beroperasi dengan lancar.

Pendeposit yang mengesan transaksi atau perkara luar biasa pada akaun masing-masing diminta segera memaklumkannya kepada TH.

Sebarang pertanyaan atau permohonan bantuan boleh disalurkan kepada Pusat Perhubungan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button