SUV Ahli Parlimen Rantau Panjang terbabas, Siti Zailah cedera di dada, perut
LIPIS – Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, 63, mengalami kecederaan di dada dan perut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya terbabas melanggar penghadang jalan di Kilometer 7, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama anak perempuannya berusia 26 tahun dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu anak perempuan Siti Zailah itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan berhampiran Kechau Tui.
“Siti Zailah mengalami kecederaan di bahagian dada serta perut dan segera dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, anak perempuannya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian itu bukan kali pertama Siti Zailah terbabit dalam kemalangan apabila dua tahun lalu, beliau mengalami kecederaan ringan selepas trak pikap dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Antarabangsa, Selangor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








