BERITA SEMASA

Data peribadi bocor: Khairul Aming ambil tindakan undang-undang, hantar LOD kepada syarikat telco

KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, mengesahkan bahawa beliau telah mengambil beberapa tindakan undang-undang susulan insiden kebocoran maklumat peribadinya yang dikaitkan dengan akaun Maxis.

Menerusi hantaran di Threads, Khairul Aming memaklumkan peguamnya telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Maxis.

Selain itu katanya, laporan rasmi turut dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), laporan polis di IPD Dang Wangi bagi membolehkan siasatan terhadap pelaku dijalankan serta laporan kebocoran data kepada pihak berkuasa perlindungan data peribadi.

Beliau berkata pasukan peguamnya akan mengendalikan kes tersebut sehingga selesai kerana insiden berkenaan memberi kesan besar terhadap privasi pengguna.

“Sejujurnya rasa sedih dan seram sebab semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang. Butiran telefon, sejarah pembayaran, langganan, sehingga nombor kad pengenalan dan akses MySara semuanya boleh bocor,” katanya.

Sebelum ini, Maxis memaklumkan bahawa siasatan dalaman mendapati insiden itu merupakan kes terpencil melibatkan akses tanpa kebenaran.

Syarikat telekomunikasi berkenaan turut memohon maaf, memaklumkan individu yang dikaitkan dengan kebocoran itu telah dikenal pasti dan tindakan undang-undang sedang diambil.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian kerajaan apabila Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengarahkan MCMC mendapatkan laporan penuh, manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) turut menjalankan siasatan terhadap dakwaan penzahiran data peribadi pelanggan tanpa kebenaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button