PMX

PM arah ketua jabatan turun padang tangani projek sakit, lewat

KUALA LUMPUR – Ketua jabatan dan agensi kerajaan perlu turun sendiri ke lapangan bagi meneliti permasalahan yang menghambat pelaksanaan projek pembangunan, termasuk projek berstatus sakit dan lewat daripada jadual, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, isu projek pembangunan berstatus sakit, kelewatan daripada jadual serta kelembapan dalam perbelanjaan peruntukan yang diluluskan antara perkara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikannya petang tadi.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan pembangunan yang besar untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi di seluruh negara.

“Maka, menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan agensi untuk turun sendiri ke lapangan, meneliti permasalahan yang dihadapi serta memahami kesukaran yang menghambat pelaksanaan sebelum segera mencari jalan penyelesaian.

“Kita tidak boleh sekadar berpuas hati apabila peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan di lapangan masih tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Beliau berkata, setiap peruntukan yang dibelanjakan juga perlu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button