
Penggunaan iPayment di semua kementerian, jabatan dipercepatkan
PUTRAJAYA – Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) akan mula digunakan di semua kementerian dan jabatan bermula awal bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengarahkan penggunaan sistem itu disegerakan bagi membolehkan rakyat menikmati manfaat dan pembaharuan dilaksanakan kerajaan.
“Harus ingat bahawa ukuran akhirnya ialah bagaimana majoriti rakyat mengecapi nikmat pembaharuan reformasi yang kita bicarakan.
“Sebab itu saya gesa supaya program (sistem) iPayment ini dipercepatkan dari unjuran jadual akhir iaitu pada April, kepada awal Mac, iaitu awal Ramadan ini,” katanya.
Pedana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran IPayment di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sistem iPayment disediakan untuk kegunaan agensi Kerajaan Persekutuan yang masih belum mempunyai sistem terimaan elektronik bagi menguruskan pembayaran oleh orang awam terhadap perkhidmatan ditawarkan kerajaan.
Boleh diakses menerusi tiga saluran pembayaran iaitu portal, kaunter dan aplikasi mudah alih, sistem ini dibangunkan secara bersama dengan Jabatan Akauntan Negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








