Pemuda AMANAH kecam tindakan biadab Exco Pemuda UMNO menggunakan tahlil sebagai bahan sindiran
KUALA LUMPUR – Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fauzan Rosli mengecam tindakan seorang Exco Pemuda UMNO yang didakwa menggunakan majlis tahlil sebagai bahan sindiran terhadap kekalahan lawan politik dalam pilihan raya.
Menurut beliau, persaingan politik tidak sepatutnya melangkaui batas sehingga melibatkan amalan keagamaan yang dimuliakan oleh umat Islam.
“Tahlil merupakan amalan yang menjadi tradisi masyarakat Islam, sarat dengan doa, zikir dan permohonan keampunan kepada Allah SWT. Menjadikannya sebagai bahan jenaka atau sindiran politik bukan sahaja tidak beradab, malah boleh menghakis rasa hormat masyarakat terhadap syiar Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Fauzan berkata, walaupun tahlil bukan rukun Islam, ia tetap merupakan amalan yang dihormati dalam masyarakat Islam dan tidak wajar dijadikan modal politik.
Beliau turut mengingatkan bahawa Islam mengutamakan akhlak dalam setiap tindakan, termasuk ketika berbeza pandangan politik.
Beliau merujuk firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125 yang menyeru dakwah dilakukan dengan hikmah dan nasihat yang baik, serta Surah Al-Hujurat ayat 11 yang melarang perbuatan saling memperolok dan menghina.
Menurutnya, tindakan menjadikan unsur agama sebagai bahan sindiran bukan sahaja mencerminkan kemerosotan akhlak politik, malah boleh memberi persepsi negatif terhadap Islam dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Sehubungan itu, beliau menggesa Exco Pemuda UMNO terbabit menarik balik kenyataan tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam atas dakwaan tindakan yang disifatkan sebagai tidak sensitif.
Fauzan turut menyeru semua pihak agar mengamalkan politik yang berteraskan akhlak dan saling menghormati, tanpa mengorbankan kesucian agama demi kepentingan politik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







