AGAMARENCANA

Nota lusuh ayah, amanah yang masih belum tertebus

PEMERGIAN seorang ayah lazimnya meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi. Namun bagi Fairuz, kehilangan itu turut hadir bersama satu lagi beban yang amat berat untuk dipikul.

Ternyata, warisan yang diterima sebagai anak bukan sekadar harta, tetapi satu ‘tanggungjawab’ yang belum selesai dan menuntut pengorbanan.

Segalanya bermula apabila Fairuz menemui sehelai kertas lusuh di celah buku catatan milik arwah bapanya.

Pada zahirnya, ia kelihatan seperti catatan biasa. Namun apabila diperhalusi, tulisan itu rupa-rupanya adalah senarai hutang yang masih belum dilunaskan arwah ketika hidupnya.

Hutang
Hutang boleh bertukar menjadi beban yang berpanjangan bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada keluarga yang ditinggalkan. – Foto Hiasan

Penemuan itu membuka satu dimensi baharu dalam hidup Fairuz yang tidak mungkin diabaikan begitu sahaja. Lebih merumitkan, tidak semua catatan itu disertakan dengan maklumat lengkap.

Ada nama tanpa dinyatakan alamat, tanpa nombor telefon untuk dihubungi bahkan ada juga sekadar nama gelaran. Ada yang ditanda sudah meninggal dan ada yang sedang menjalani hukuman di penjara.

Pada helaian lain, tertulis pula hutang ansuran peralatan elektronik yang pernah dibeli dengan bayaran pendahuluan RM1, pinjaman rakan lama ketika berniaga pasar malam, sehinggalah pengakuan mengambil sejumlah wang daripada komisen syarikat tanpa kebenaran.

Bagi Fairuz, setiap baris dalam senarai itu membawa makna amanah yang besar. Melihat pada senarai panjang itu, terlintas juga ‘kekaguman’ terhadap bapanya kerana mencatat segala kewajipannya itu.

Roh orang yang telah meninggal dunia akan tergantung selagi hutangnya belum dilunaskan. – Foto Hiasan

Setidak-tidaknya dengan penemuan nota hutang itu, dapatlah juga beliau menyelesaikan hutang-hutang ayahnya.

Cuma untuk menjejak dan mengakui diri sebagai wakil hutang ayahnya yang sudah meninggal dunia bukanlah satu tugas yang mudah, tetapi tetap wajib dilaksanakan.

Sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, tanggungjawab itu umpama rantai yang mengikat kakinya dan tidak mungkin terlerai selagi ia tidak diselesaikan.

“Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang. Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah, Tuhannya…”

Demikian firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 283.

Ayat ini menegaskan bahawa urusan hutang bukan sekadar perjanjian antara manusia, tetapi amanah yang wajib ditunaikan dengan penuh ketakwaan.

Fairuz berdepan dilema yang lazim dihadapi ramai waris iaitu sama ada membiarkan perkara itu berlalu atau berusaha menyelesaikannya tanpa kepastian.

Namun akhirnya, beliau memilih jalan yang lebih sukar: menjejaki satu persatu nama yang tercatat, walaupun tanpa jaminan hasil.

Hutang
Hutang bukan sekadar transaksi kewangan, tetapi melibatkan hak sesama manusia yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. – Foto Hiasan 

Usaha tersebut bukan mudah. Ada yang berjaya ditemui melalui rangkaian kenalan lama, ada yang ditemui setelah bertanya dari satu tempat ke satu tempat.

Namun, tidak kurang juga yang kekal misteri, seolah-olah hilang bersama masa.

Menariknya, reaksi yang diterima juga pelbagai. Ada yang terkejut apabila dihubungi, ada yang sudah melupakan hutang tersebut, malah ada yang enggan menerima bayaran semula.

Namun bagi Fairuz, usaha melunaskan hutang itu bukan bergantung kepada penerimaan pihak lain, sebaliknya sebagai usaha menunaikan tanggungjawab yang ditinggalkan bapanya.

Kisah ini membuka ruang perbincangan yang lebih luas tentang konsep hutang dalam kehidupan.

Dalam ajaran Islam, hutang bukan sekadar transaksi kewangan, tetapi melibatkan hak sesama manusia yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda:

“Roh seorang Mukmin itu tergantung dengan hutangnya sehingga hutangnya dilunaskan.” (Riwayat Tirmizi)

Dalam hadis lain, Baginda SAW juga mengingatkan:

“Sesiapa yang mengambil harta manusia dengan niat untuk membayarnya, Allah akan menunaikannya bagi pihaknya. Dan sesiapa yang mengambilnya dengan niat untuk merosakkannya, Allah akan membinasakannya.” (Riwayat Bukhari)

Realitinya, dalam masyarakat hari ini, berhutang sering dianggap perkara biasa, malah kadangkala menjadi jalan mudah untuk memenuhi gaya hidup.

Tanpa perancangan yang teliti, hutang boleh bertukar menjadi beban yang berpanjangan bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada keluarga yang ditinggalkan.

Apa yang berlaku kepada Fairuz adalah cerminan kepada kesan tersebut.

Hutang
Hutang yang tidak dilunaskan ketika hidup seseorang boleh menyebabkan waris memikul beban berpanjangan.

Kesilapan dalam pengurusan kewangan seseorang boleh melangkaui hayatnya, meninggalkan beban kepada waris yang terpaksa berdepan dengan implikasi yang tidak mereka ciptakan.

Namun di sebalik cabaran itu, terserlah nilai yang semakin jarang diketengahkan iaitu kejujuran dan keberanian untuk memperbetulkan keadaan.

Tindakan Fairuz menunjukkan bahawa amanah tidak terhenti pada individu, tetapi boleh diteruskan oleh mereka yang memahami tanggungjawab tersebut.

Allah SWT juga mengingatkan dalam Surah An-Nisa’ ayat 58:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya…”

Walaupun tidak semua hutang dapat diselesaikan sepenuhnya, usaha yang dilakukan sudah cukup memberi makna.

Ia bukan sahaja menyelesaikan sebahagian beban yang ditinggalkan, tetapi juga menjadi peringatan kepada masyarakat tentang pentingnya mengurus kewangan dengan amanah.

Hutang
Hutang wajib dibayar kerana ia tuntutan agama. 

Akhirnya, warisan sebenar bukan hanya pada harta yang ditinggalkan, tetapi pada nilai dan tanggungjawab yang diwariskan.

Kisah ini mengingatkan bahawa setiap keputusan kewangan hari ini boleh memberi kesan kepada generasi seterusnya.

Dalam dunia yang semakin mencabar, sikap berhati-hati dalam berhutang dan menghormati hak orang lain bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button