Mujahid dakwa BN ‘tikam’ rakan dalam PRN Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebagai tamparan kepada semangat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk sebelum ini.
Beliau berkata, tindakan BN membahagikan kerusi dengan PN sehingga membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri selepas menguasai majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai ‘menikam’ rakan secara terang-terangan.
Menurutnya, tindakan tersebut memperlihatkan BN memilih untuk menewaskan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang sebelum ini dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH).
“Pakatan Harapan (PH) harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN sudah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa PN dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis serta kebencian kaum dan agama.
“Ini adalah isyarat bahawa PH akan mengharungi laluan mendaki yang sukar jika PH beriltizam untuk istiqamah membawa Malaysia ke arah politik nilai yang lebih menjamin masa depan negara,” dakwanya dalam kenyataan media.
Pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu, strategi persefahaman BN dan PN membuahkan hasil apabila gabungan itu menguasai 25 kerusi DUN, dengan UMNO memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi, diikuti MCA (dua kerusi), manakala PN menerusi PAS memperoleh empat kerusi dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) memenangi tiga kerusi.
Mengulas lanjut, Mujahid mendakwa kemenangan BN-PN menunjukkan politik identiti kaum mengatasi politik nilai rentas kaum dan agama yang diperjuangkan PH.
“Pengundi di Negeri Sembilan memilih emosi dan sentimen kaum, daripada prestasi serta pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka.
“Sementara kita menghormati pilihan pengundi, kita juga melahirkan kebimbangan bahawa parti-parti yang membawa naratif politik beridentitikan kaum dan agama sempit berpotensi membawa risiko kepada suasana politik menjadi semakin meruncing.
“Ketidakpercayaan dan kebencian antara kaum dan agama akan semakin melebar, justeru menjejaskan kestabilan serta perpaduan yang menjadi kunci kepada kemakmuran negara,” katanya.
Beliau turut mendakwa mesej politik kepada rakyat menjadi semakin mengelirukan apabila BN yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bekerjasama dengan PN, namun pada masa sama menggunakan kedudukan sebagai menteri dan jawatan rasmi lain ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan.
“Apakah akan berlaku pensejajaran semula untuk memenangkan politik nilai daripada politik perkauman?
“Justeru, PH harus bermuhasabah dan mencari di mana kelemahannya, selain perlu membina kekuatan baharu untuk menggerakkan momentum bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








