KNKV Group himpun pemain industri perkukuh daya saing perniagaan hadapi persaingan 2027
KUALA LUMPUR – Kegagalan menonjolkan kelebihan produk boleh menyebabkan syarikat terpaksa bersaing melalui harga lebih rendah bagi menarik pelanggan, sekali gus menjadikan penjenamaan antara faktor penting dalam membezakan perniagaan daripada pesaing.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Profesor Adjung Adam Richman berkata, syarikat perlu memastikan kelebihan produk difahami pelanggan serta disokong keyakinan terhadap jenama bagi menghadapi persaingan perniagaan yang semakin sengit.
“Pemilik perniagaan tahu apa yang bagus tentang produk mereka. Tetapi adakah pelanggan memahami kelebihan yang sama, dan menganggapnya penting apabila membuat pilihan?
“Jika jawapannya belum jelas, perniagaan perlu melihat semula cara jenama itu diperkenalkan, bukti yang ditampilkan dan pengalaman yang diberikan kepada pelanggan,” katanya pada program KNKV Branding & Marketing War 2027 di ibu negara semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr Zurainah Musa; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Wan Ahmad Amir Zal bin Wan Ismail serta Pengasas dan Rakan Pengurusan Nik Safia & Co, Safia Ahmad Jahidi.

Program berkenaan menghimpunkan pemimpin perniagaan, ketua pegawai eksekutif (CEO), pengasas syarikat, pemain industri serta pemegang taruh strategik bagi membincangkan hala tuju penjenamaan dan pemasaran dalam menghadapi landskap perniagaan 2027.
Baca juga : Penguasaan AI, data jadi kunci kejayaan usahawan masa ini
Program bertemakan ‘Build A Brand People Choose. Create Marketing That Gets You Noticed.’ itu turut menyediakan platform untuk peserta bertukar pandangan, membina hubungan strategik dan mengenal pasti peluang kerjasama baharu.
Mengulas lanjut, Adam berkata, pelanggan menilai sesuatu tawaran berdasarkan keperluan dan nilai yang diberikan, bukan sekadar ciri produk. Oleh itu, syarikat perlu menjelaskan kumpulan pelanggan yang ingin dibantu, masalah yang mampu diselesaikan serta manfaat yang ditawarkan.
Beliau berkata, kelebihan berkenaan juga perlu disokong bukti menerusi demonstrasi, portfolio dan pengalaman pelanggan bagi membina keyakinan serta mengukuhkan kredibiliti jenama.
“Apabila perbezaan antara dua tawaran tidak jelas, harga boleh menjadi pertimbangan utama. Sebelum terus memberi diskaun, syarikat perlu bertanya sama ada nilai produknya sudah diterangkan dengan meyakinkan,” katanya.
Menurutnya, penjenamaan dan pemasaran perlu bergerak seiring bagi memastikan mesej perniagaan sampai kepada kumpulan pelanggan yang tepat, selain disokong mutu produk dan perkhidmatan yang konsisten.
“Janji dalam iklan mesti sepadan dengan apa yang pelanggan terima. Kepercayaan yang dibina melalui komunikasi perlu diperkukuh melalui pengalaman sebenar,” katanya.

Dalam program sama, KNKV Group memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kotler Impact Asia dan ANNEMS Leadership Solution, dengan KNKV Group berperanan sebagai Rakan Penganjur Bersama dan Rakan Strategik World Marketing Summit Malaysia 2026.
Majlis pemeteraian itu turut disertai Presiden Kotler Impact Asia, Datuk Dr Hajah Faridah Hanim Haron.
Selain itu, KNKV Group mengumumkan pelantikan Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman, sebagai Penasihat Syariah bagi memperkukuh tadbir urus berteraskan prinsip Syariah, integriti dan etika.
Program itu turut memperkenalkan akses awal kepada Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA) 2027, iaitu inisiatif pengiktirafan berasaskan merit yang mengetengahkan integriti dan pencapaian sebenar dalam perniagaan.
KNKV Group, syarikat pengiklanan, pemasaran dan komunikasi bersepadu yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor, menawarkan perkhidmatan penjenamaan, pengiklanan televisyen dan digital, produksi video korporat, pemasaran media sosial serta pengurusan acara.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan syarikat boleh diperoleh menerusi laman web www.knkvgroup.com.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


