KDN buka tempoh khas permohonan kuota pekerja asing mulai Januari 2026
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuka tempoh khas permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi tahun 2025 bermula 19 Januari hingga 31 Mac 2026 bagi memberi ruang tambahan kepada majikan yang masih memerlukan tenaga kerja asing.
KDN memaklumkan, permohonan kuota penggajian pekerja asing masih akan diterima sehingga tarikh akhir asal iaitu pada 31 Disember 2025.
Menurut kementerian itu, tempoh khas berkenaan melibatkan permohonan bagi semua sektor dan subsektor yang telah diluluskan Kerajaan pada 1 Oktober 2025 serta memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.
“Ia termasuk sektor perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini ditutup lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, KDN turut memaklumkan semua permohonan yang diterima dalam tempoh 19 Januari hingga 31 Mac 2026 akan dibincangkan bersama kementerian penyelia berkaitan untuk pertimbangan dan tertakluk kepada syarat-syarat penggajian pekerja asing yang lain.
Dalam pada itu, majikan diingatkan supaya mengemukakan permohonan secara terus tanpa menggunakan khidmat ejen atau pihak ketiga di Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing, KDN.
Bagi melancarkan urusan permohonan sepanjang tempoh khas tersebut, KDN berkata, temujanji perlu dibuat terlebih dahulu melalui sistem temujanji yang boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN bermula 16 Januari 2026.
“KDN berharap kemudahan tempoh khas ini dapat membantu majikan mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing secara lebih teratur dan terancang,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








