BERITA SEMASA

Kerajaan tetap bekukan permohonan baharu penggajian pekerja asing

Jumlah menghampiri siling ditetapkan RMK-12

PUTRAJAYA – Kerajaan tetap dengan pendirian membekukan permohonan baharu bagi kuota penggajian pekerja asing kerana angka pekerja tersebut telah menghampiri jumlah siling yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, keputusan itu dibuat setelah meneliti dan membuat pertimbangan semula berhubung ketetapan pembukaan kuota penggajian pekerja asing.

Jelas beliau, jumlah pekerja asing dalam negara dipandu oleh ketetapan Kementerian Ekonomi dalam RMK-12 iaitu sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.

“Dalam hal ini, jumlah pekerja asing dalam negara sehingga 15 September lalu didapati menghampiri jumlah siling yang ditetapkan.

“Maka, dimaklumkan bahawa pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing adalah diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memantau kemasukan pekerja asing bagi memastikan pematuhan kepada siling yang ditetapkan, dan seterusnya menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Saifuddin Nasution kemudiannya berkata, program pemutihan pekerja asing juga tidak akan dilaksanakan pada masa akan datang.

“Tempoh pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 telah tamat pada 31 Disember 2023 dan kerajaan tiada perancangan untuk melaksanakan program pemutihan baharu pada masa akan datang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button